Thursday, November 1, 2012

Pemandu maut, kereta junam ke laut


GEORGETOWN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam laut selepas merempuh Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 7.9, menghala ke arah Georgetown, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kereta Proton Persona yang dipandu Tan Kean Loon, 26, dari Air Itam di sini dipercayai merempuh tembok pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam laut.

Kejadian itu hanya disedari selepas pasukan peronda lebuh raya yang membuat rondaan menjumpai tayar kereta di tepi jambatan manakala tiang lampu juga tumbang ke dalam laut.

Mengesyaki ada kenderaan terjunam ke dalam laut, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Skuba memulakan gerakan mencari kenderaan dan mangsa kemalangan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk mengesan lokasi kereta mangsa di dasar laut.

“Kereta berjaya diangkat menggunakan kren pada jam 12.30 tengah hari dan mayat mangsa ditemui tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.
Kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim dipetik Bernama berkata, pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas dipercayai adalah warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan warga tempatan.
"Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ," katanya dan menurutnya polis juga sedang menunggu untuk mengambil keterangan daripada seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang untuk mengetahui identiti sebenar kesemua mangsa. 

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas.

Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 September tahun lepas.

Dalam kemalangan itu, pemandu yang  menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.
 
Sumber : Sinar Harian

9 FADHILAT MENDIDIK ANAK







1.Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat.


2.Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

3.Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

4.Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

5.Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.”

6.Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah, pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.

7.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

8.Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

9.Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? ”
Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.” Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.”
Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

Subhanallah..Begitu banyak ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka yang menyayangi anaknya. Semoga kita semua mendapat fadhilat yang dinyatakan di atas. InsyaAllah…